Rasulullah memaafkan Fudholah yang hendak membunuhnya
Pada saat Nabi SAW sedang bertawaf di Kaabah, datang seorang lelaki yang bernama Fudholah bin Umar dengan niat mahu membunuhnya. Apabila sudah berada di samping Rasulullah dan mempunyai peluang untuk membunhnya, tiba-tiba ia terkejut tatkala bertembung pandangan dengan Nabi SAW.
Nabi bertanya, “Apakah engkau yang bernama Fudholah?”
Dengan gementar ia menjawab, “Ya benar. Akulah Fudholah ya Rasulullah.”
Rasulullah bertanya lagi, “Niat apa yang terkandung di dalam hatimu?”
Fudholah berkata dengan gementar, “Tidak ada suatu apapun, aku hanya berzikir.”
Tertawalah Nabi sambil berkata kepadanya, “Minta ampunlah kepada Allah atas dosa dan niat jahatmu wahai Fudholah.”
Kemudian, Nabi meletakkan tangannya yang penuh kasih sayang dan keberkatan ke atas dada Fudholah. Selepas kejadian itu, Fudholah berkata, “Demi Allah. Apabila Nabi SAW mengangkat tangannya dari dadaku, aku merasakan tidak ada seorang pun di dunia ini yang lebih aku cintai dan sayangi selain daripada Rasulullah SAW.”
Daripada petikan kisah ini, dapatlah kita mengambil pengajaran berkait dengan akhlak Nabi yang perlu kita ikuti. Mudah untuk digelar pendakwah tetapi sukar untuk menjadi seorang pendakwah yang benar-benar tulus dalam menjalankan aktiviti dakwahnya.
Kadang-kadang, ia menyeru manusia kepada kebaikan akan tetapi ia lupa untuk menyeru dirinya. Sering kali, ia mengajak manusia berakhlak dengan akhlak mulia tetapi ia sendiri tidak berperibadi sebagaimana yang telah ditonjolkan oleh Nabi SAW. Ia tahu ketinggian peribadi Nabi junjungan tetapi sukar baginya untuk mengikutinya.
No comments:
Post a Comment